Kawan Kita

Jumaat, 30 September 2016

Kesan-Kesan Buruk Merokok

          Merokok amalan yang tidak baik. Asap rokok mengandungi 4000 bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan badan. Oleh itu, amalan merokok banyak mendatangkan kesan buruk.

          Salah satu kesan buruk itu ialah merokok mengakibatkan penyakit. Antara penyakit yang diakibatkan oleh merokok ialah kanser paru-paru dan penyakit jantung. Kedua-dua penyakit ini berpunca daripada bahan kimia seperti tar, ammonia, dan arsenic yang terkandung dalam asap rokok. Penyakit ini amat berbahaya dan boleh membawa maut.

          Selain itu, merokok akan menyebabkan ketagihan. Ketagihan berpunca daripada nikotina dalam asap rokok. Seseorang yang ketagihan rokok akan berasa letih dan murung jika tidak merokok. Tangannya akan menggeletar dan degupan jantung menjadi lebih laju. Dia juga tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja yang dilakukannya.

          Di samping itu, merokok juga menjejaskan personaliti perokok. Nafasnya, rambutnya, dan pakaiannya berbau asap rokok. Giginya berwarna kuning atau perang kerana dikesani oleh nikotina dalam asap rokok. Hal ini menyebabkan orang lain berasa kurang selesa apabila berdekatan dengannya.

          Seterusnya, merokok membazirkan wang. Hal ini kerana harga rokok sangat mahal dengan sekotak rokok berisi 20 batang rokok berharga RM10.00. Jika perokok menghisap dua kotak rokok sehari, dia membazirkan RM20.00 sehari untuk menikmati sesuatu yang bukan sahaja tidak berfaedah tetapi juga memudaratkan kesihatannya.


          Kesimpulannya, amalan merokok tabiat yang buruk. Jauhilah amalan merokok demi menjaga kesihatan badan.