Masyarakat
Melayu dahulukala terkenal dengan amalan gotong-royong. Namun demikian, kini
amalan gotong-royongsemakin luntur dan dilupakan. Sebenarnya, banyak faedah
dapat diperoleh daripada amalan gotong royong.
Antara faedah itu ialah gotong-royong
dapat mempercepat dan meringankan sesuatu kerja. Sebagai contohnya, jiran
tetangga membantu sesebuah keluarga dalam persiapan untuk kenduri kahwin. Dalam
kerja membina jambatan kayu atau membersihkan kawasan perumahan pula, penduduk
menyumbangkan tenaga untuk melakukannya secara beramai-ramai.
Selain itu, amalan gotong-royong
untuk melakukan sesuatu tugas juga menjimatkan wang. Hal ini demikian kerana
amalan gotong-royong tidak membabitkan pembayaran upah. Orang-orang yang
menyertai gotong-royong berbuat demikian secara sukarela. Mereka bersedia untuk
menyumbangkan tenaga dan masa demi kebaikan bersama.
Di samping itu, amalan gotong-royong
juga dapat merapatkan silaturahim sesama anggota masyarakat. Sifat mesra dan
akrab terjalin sesama jiran tetangga secara tidak langsung. Kemesraan dan
keakraban yang terjalin itu akan melahirkan sifat penyayang dalam kalangan
jiran tetangga apabila seseorang jiran itu memerlukan bantuan kecemasan,
seperti dalam hal kematian dan kebakaran
rumah.
Seterusnya, amalan gotong-royong juga
dapat menimbulkan rasa tanggungjawab masyarakat untuk menjaga harta benda awam.
Mereka akan menyedari kepentingan dan faedah kemudahan awam kepada masyarakat. Dengan
itu, perbuatan golongan remaja yang merosakkan kemudahan awam dapat dielakkan.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong
telah diwarisi oleh masyarakat Malaysia sejak zaman-berzaman. Oleh itu, usaha
harus diambil untuk menyuburkan amalan ini dalam generasi muda.