Air merupakan
keperluan asas dalam kehidupan manusia. Kebersihan air harus dikawal untuk
menjamin kehidupan kita sihat, di samping bekalannya banyak dan berterusan. Secara
teorinya, air bersih di Negara kita tidaklah menjadi masalah kerana kita
mendapat hujan yang banyak, di samping mempunyai rangkaian sungai yang juga
tidak kurang banyaknya. Walau bagaimanapun, hakikat yang terjadi amat
memeranjatkan kerana terbukti kita masih kekurangan bekalan air bersih. Daripada
tinjauan yang sering dilakukan, didapati banyak sungai di Negara kita telah
tercemar dan antara yang paling serius ialah Sungai Klang dan Sungai Linggi. Kedua-dua
sungai tersebut tidak dapat membekalkan air bersih kepada penduduk setempat
disebabkan keadaannya yang kotor, berwarna kekuningan, dan kadang-kadang berbau
busuk. Tegasnya, pencemaran sungai di Negara kita memang wujud dan masalah ini
amat membimbangkan semua pihak.
Memang benar
pembuangan sisa domestic yang tidak teratur menjadi punca utama masalah ini. Kajian
telah menunjukkan bahawa ketidakcekapan perkhidmatan pemungutan sampah di
sesetengah tempat di Negara ini masih wujud. Hari dan waktu pungutan tidak
tetap, ditambah pula dengan kekurangan tempat membuang sampah ‘memaksa’
penduduk di kawasan tertentu membuang sampah ke tempat yang tidak sepatutnya,
seperti longkang, saliran air, dan sungai. Keadaan ini umumnya berlaku di
kawasan setinggan yang berdekatan anak sungai. Mereka menjadikan anak sungai
sebagai ‘tong sampah’. Di samping itu, terdapat juga peniaga, terutamanya peniaga
makanan membuang sisa makanan mereka ke dalam longkang besar yang akhirnya
mengalir ke sungai.
Walaupun pembuangan
sisa domestic dikatakan menjadi punca utama berlakunya pencemaran sungai,
banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini. Aktiviti perkilangan
yang dahulunya menjadi punca utama, kini masih kekal sebagai salah satu punca
berlakunya pencemaran air, khususnya di kawasan perindustrian. Industri
makanan, minuman, barangan kimia, tekstil, dan sebagainya memang mengeluarkan
banyak sisa bertoksik. Namun, ramai pengusaha kilang masih enggan atau tidak
mampu memasang alat penapis dan alat pemprosesan bahan sisa, lalu mengambil
keputusan melepaskan sisa tersebut ke longkang atau sungai. Bukan itu sahaja,
malah kebanyakkan bahan pencemar udara, seperti asap yang kotor dan asap
beracun terlarut di udara dan apabila hujan, air yang turun itu turut tercemar.
Keadaan ini dipanggil hujan asid dan air hujan tersebut selamat digunakan.
Di kawasan luar Bandar
pula, aktiviti pertanian dan perternakan juga telah terbukti menjadi penyebab
berlakunya pencemaran sungai. Pengusaha tanaman kerap menggunakan racun dan
baja berlebihan dengan harapan akan mendapat hasil yang lebih lumayan. Bahan kimia
ini terserap ke dalam tanah apabila hujan dan akhirnya memasuki punca air dan
mencemarinya. Air sungai yang tercemar oleh bahan kimia seperti ini adalah
beracun dan individu yang menggunakannya sering mengalami gatal-gatal. Binatang
yang diternak pula mengeluarkan bahan kumuh yang banyak saban hari. Sisa ini
selalunya dialirkan ke sungai, seterusnya menyebabkan air sungai kotor dan
beracun. Binatang ternakan yang mati pula biasanya dibuang oleh penternak ke
dalam sungai dan perlakuan ini memburukkan lagi keadaan.
Pemusnahan kawasan
hutan dan belukar melalui aktiviti pembalakan dan pembangunan juga boleh
menyebabkan pencemaran air. Lapisan daun dan pokok menyediakan semacam ‘tempat
teduhan’ kepada tanah dibawahnya. Penebangan pokok secara keterlaluan menyebabkan
tempat teduhan itu musnah dan tanpanya tanah akan terhakis dengan mudah oleh
hujan. Tanah yang terhakis akan dibawa oleh air ke sungai dan seterusnya
mencemarkan sungai. Sungai akan menjadi cetek dan aliran air tersekat jika
serpihan pokok yang ditebang itu tidak dibersihkan dengan betul. Sungai yang
sarat dengan bahan sisa pepohon tersebut lambat-laun akan mengecil dan
kehilangan fungsinya sebagai sumber air bersih.
Satu lagi faktor
yang menjadi pencemaran sungai ialah ketidakcekapan langkah peyenggaraan
sungai. Aliran air sungai di kawasan hulu lebih deras dan aliran air seperti
itu akan menghakis tebing. Hasil hakisan itu pula akan mendak di kawasan hilir
dan lama-kelamaan menjadi cetek. Keadaan bertambah buruk lagi apabila sungai tidak
dibersihkan dan rumput-rumpai dibiarkan tumbuh di tebing sungai dan bahan lain
yang mungkin juga termasuk sampah-sarap dibuang sehingga menyukarkan aliran
air. Akhirnya, sampah yang terperangkap bertimbun dan ini tentunya menyebabkan
pencemaran sungai. Bahan tersebut akan mereput dan menjadi tempat pembiakan pelbagai
vector penyakit. Apabila keadaan ini berlaku, air sungai tidak dapat digunakan
lagi, kecuali jika usaha pemuliharaan dan peyenggaraan dijalankan dengan
segera.
Disebabkan sungai
merupakan punca air yang penting bagi penduduk Negara ini, langkah untuk
mengelakkannya daripada terus tercemar perlu dilaksanakan dengan segera. Sebagai
pengguna air, kita perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya terhadap apa-apa
jua langkah yang diambil oleh kerajaan untuk tujuan ini. Kita perlu sama-sama
berusaha memastikan sungai kita bersih dan bebas daripada pencemaran. Tanpa air,
tidak ada kehidupan dan kita akan berhadapan dengan masalah yang tidak dapat
dibaiki lagi.