Kawan Kita

Rabu, 31 Disember 2014

TAJUK : PUNCA UTAMA MASALAH PENCEMARAN AIR

     Air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Kebersihan air harus dikawal untuk menjamin kehidupan kita sihat, di samping bekalannya banyak dan berterusan. Secara teorinya, air bersih di Negara kita tidaklah menjadi masalah kerana kita mendapat hujan yang banyak, di samping mempunyai rangkaian sungai yang juga tidak kurang banyaknya. Walau bagaimanapun, hakikat yang terjadi amat memeranjatkan kerana terbukti kita masih kekurangan bekalan air bersih. Daripada tinjauan yang sering dilakukan, didapati banyak sungai di Negara kita telah tercemar dan antara yang paling serius ialah Sungai Klang dan Sungai Linggi. Kedua-dua sungai tersebut tidak dapat membekalkan air bersih kepada penduduk setempat disebabkan keadaannya yang kotor, berwarna kekuningan, dan kadang-kadang berbau busuk. Tegasnya, pencemaran sungai di Negara kita memang wujud dan masalah ini amat membimbangkan semua pihak.

     Memang benar pembuangan sisa domestic yang tidak teratur menjadi punca utama masalah ini. Kajian telah menunjukkan bahawa ketidakcekapan perkhidmatan pemungutan sampah di sesetengah tempat di Negara ini masih wujud. Hari dan waktu pungutan tidak tetap, ditambah pula dengan kekurangan tempat membuang sampah ‘memaksa’ penduduk di kawasan tertentu membuang sampah ke tempat yang tidak sepatutnya, seperti longkang, saliran air, dan sungai. Keadaan ini umumnya berlaku di kawasan setinggan yang berdekatan anak sungai. Mereka menjadikan anak sungai sebagai ‘tong sampah’. Di samping itu, terdapat juga peniaga, terutamanya peniaga makanan membuang sisa makanan mereka ke dalam longkang besar yang akhirnya mengalir ke sungai.

     Walaupun pembuangan sisa domestic dikatakan menjadi punca utama berlakunya pencemaran sungai, banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini. Aktiviti perkilangan yang dahulunya menjadi punca utama, kini masih kekal sebagai salah satu punca berlakunya pencemaran air, khususnya di kawasan perindustrian. Industri makanan, minuman, barangan kimia, tekstil, dan sebagainya memang mengeluarkan banyak sisa bertoksik. Namun, ramai pengusaha kilang masih enggan atau tidak mampu memasang alat penapis dan alat pemprosesan bahan sisa, lalu mengambil keputusan melepaskan sisa tersebut ke longkang atau sungai. Bukan itu sahaja, malah kebanyakkan bahan pencemar udara, seperti asap yang kotor dan asap beracun terlarut di udara dan apabila hujan, air yang turun itu turut tercemar. Keadaan ini dipanggil hujan asid dan air hujan tersebut selamat digunakan.

     Di kawasan luar Bandar pula, aktiviti pertanian dan perternakan juga telah terbukti menjadi penyebab berlakunya pencemaran sungai. Pengusaha tanaman kerap menggunakan racun dan baja berlebihan dengan harapan akan mendapat hasil yang lebih lumayan. Bahan kimia ini terserap ke dalam tanah apabila hujan dan akhirnya memasuki punca air dan mencemarinya. Air sungai yang tercemar oleh bahan kimia seperti ini adalah beracun dan individu yang menggunakannya sering mengalami gatal-gatal. Binatang yang diternak pula mengeluarkan bahan kumuh yang banyak saban hari. Sisa ini selalunya dialirkan ke sungai, seterusnya menyebabkan air sungai kotor dan beracun. Binatang ternakan yang mati pula biasanya dibuang oleh penternak ke dalam sungai dan perlakuan ini memburukkan lagi keadaan.

     Pemusnahan kawasan hutan dan belukar melalui aktiviti pembalakan dan pembangunan juga boleh menyebabkan pencemaran air. Lapisan daun dan pokok menyediakan semacam ‘tempat teduhan’ kepada tanah dibawahnya. Penebangan pokok secara keterlaluan menyebabkan tempat teduhan itu musnah dan tanpanya tanah akan terhakis dengan mudah oleh hujan. Tanah yang terhakis akan dibawa oleh air ke sungai dan seterusnya mencemarkan sungai. Sungai akan menjadi cetek dan aliran air tersekat jika serpihan pokok yang ditebang itu tidak dibersihkan dengan betul. Sungai yang sarat dengan bahan sisa pepohon tersebut lambat-laun akan mengecil dan kehilangan fungsinya sebagai sumber air bersih.

     Satu lagi faktor yang menjadi pencemaran sungai ialah ketidakcekapan langkah peyenggaraan sungai. Aliran air sungai di kawasan hulu lebih deras dan aliran air seperti itu akan menghakis tebing. Hasil hakisan itu pula akan mendak di kawasan hilir dan lama-kelamaan menjadi cetek. Keadaan bertambah buruk lagi apabila sungai tidak dibersihkan dan rumput-rumpai dibiarkan tumbuh di tebing sungai dan bahan lain yang mungkin juga termasuk sampah-sarap dibuang sehingga menyukarkan aliran air. Akhirnya, sampah yang terperangkap bertimbun dan ini tentunya menyebabkan pencemaran sungai. Bahan tersebut akan mereput dan menjadi tempat pembiakan pelbagai vector penyakit. Apabila keadaan ini berlaku, air sungai tidak dapat digunakan lagi, kecuali jika usaha pemuliharaan dan peyenggaraan dijalankan dengan segera.

     Disebabkan sungai merupakan punca air yang penting bagi penduduk Negara ini, langkah untuk mengelakkannya daripada terus tercemar perlu dilaksanakan dengan segera. Sebagai pengguna air, kita perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya terhadap apa-apa jua langkah yang diambil oleh kerajaan untuk tujuan ini. Kita perlu sama-sama berusaha memastikan sungai kita bersih dan bebas daripada pencemaran. Tanpa air, tidak ada kehidupan dan kita akan berhadapan dengan masalah yang tidak dapat dibaiki lagi. 

Tiada ulasan: