Merokok
amalan yang tidak baik. Asap rokok mengandungi 4000 bahan kimia yang boleh
menjejaskan kesihatan badan. Oleh itu, amalan merokok banyak mendatangkan kesan
buruk.
Salah satu kesan buruk itu ialah
merokok mengakibatkan penyakit. Antara penyakit yang diakibatkan oleh merokok
ialah kanser paru-paru dan penyakit jantung. Kedua-dua penyakit ini berpunca
daripada bahan kimia seperti tar, ammonia, dan arsenic yang terkandung dalam
asap rokok. Penyakit ini amat berbahaya dan boleh membawa maut.
Selain itu, merokok akan menyebabkan
ketagihan. Ketagihan berpunca daripada nikotina dalam asap rokok. Seseorang
yang ketagihan rokok akan berasa letih dan murung jika tidak merokok. Tangannya
akan menggeletar dan degupan jantung menjadi lebih laju. Dia juga tidak dapat
menumpukan perhatian terhadap kerja yang dilakukannya.
Di samping itu, merokok juga
menjejaskan personaliti perokok. Nafasnya, rambutnya, dan pakaiannya berbau
asap rokok. Giginya berwarna kuning atau perang kerana dikesani oleh nikotina
dalam asap rokok. Hal ini menyebabkan orang lain berasa kurang selesa apabila
berdekatan dengannya.
Seterusnya, merokok membazirkan wang.
Hal ini kerana harga rokok sangat mahal dengan sekotak rokok berisi 20 batang
rokok berharga RM10.00. Jika perokok menghisap dua kotak rokok sehari, dia
membazirkan RM20.00 sehari untuk menikmati sesuatu yang bukan sahaja tidak
berfaedah tetapi juga memudaratkan kesihatannya.
Kesimpulannya, amalan merokok tabiat
yang buruk. Jauhilah amalan merokok demi menjaga kesihatan badan.